Thursday, May 14, 2026

Tokoh Motivasi

 Tun Dr. Mahathir Mohamad

Malaysia mempunyai ramai tokoh inspirasi, dan salah seorang yang paling berpengaruh ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dikenali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pernah berkhidmat dalam tempoh yang panjang serta memainkan peranan besar dalam pembangunan negara. Kepimpinan beliau telah membawa Malaysia ke arah kemajuan pesat, terutamanya dalam bidang ekonomi dan perindustrian.

Tun Dr. Mahathir terkenal dengan sikap tegas, berwawasan, dan berdisiplin tinggi. Beliau sering menekankan kepentingan pendidikan, kerja keras, dan pemikiran yang maju dalam mencapai kejayaan. Melalui dasar-dasar yang diperkenalkan seperti Wawasan 2020, beliau berjaya memberi hala tuju yang jelas kepada negara untuk mencapai status negara maju.

Selain itu, beliau juga dikenali sebagai seorang tokoh yang berani menyuarakan pandangan di peringkat antarabangsa. Keberanian dan keyakinan beliau menjadikan Malaysia lebih dikenali dan dihormati di mata dunia. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi dan tidak mudah berputus asa.

Kesimpulannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan tokoh motivasi yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Ketekunan, keberanian, dan wawasan beliau menjadi contoh terbaik dalam usaha mencapai kejayaan dan membangunkan negara.


Tun Dr. Mahathir Mohamad


Wednesday, May 13, 2026

Menjadi Peguam Syariah: Antara Impian dan Realiti

 Impian atau Realiti?

Setiap individu mempunyai cita-cita yang ingin dicapai dalam kehidupan dan salah satu cita-cita saya ialah untuk menjadi seorang peguam syariah. Profesion ini bukan sahaja memerlukan pengetahuan yang luas dalam bidang undang-undang Islam, malah menuntut kejujuran, integriti dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Saya tertarik dengan bidang ini kerana ingin membantu masyarakat menyelesaikan masalah berkaitan hukum syarak dengan adil dan berlandaskan prinsip Islam.

Sebagai seorang peguam syariah, seseorang perlu memahami pelbagai aspek seperti undang-undang keluarga Islam, faraid serta isu-isu berkaitan perkahwinan dan penceraian. Tugas ini sangat penting kerana ia melibatkan hak dan keadilan individu. Oleh itu, saya berazam untuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh agar dapat menguasai bidang ini dengan baik.

Selain itu, saya juga ingin menjadi seorang peguam yang beretika dan amanah. Saya percaya bahawa keadilan bukan sahaja terletak pada keputusan mahkamah tetapi juga pada cara seseorang mengendalikan sesuatu kes. Dengan sikap yang jujur dan profesional, saya berharap dapat memberi kepercayaan kepada masyarakat.

Kesimpulannya, cita-cita untuk menjadi peguam syariah bukan sekadar impian tetapi satu tanggungjawab besar. Saya bertekad untuk berusaha gigih demi mencapai matlamat ini dan memberi manfaat kepada agama serta masyarakat.


Peguam Syariah


Tuesday, May 12, 2026

Kritikan tentang Dunia Hiburan

 Dunia Hiburan

Dunia hiburan sering dianggap sebagai ruang untuk melarikan diri daripada realiti, namun di sebalik gemerlapnya, terdapat pelbagai isu yang wajar dikritik. Salah satu daripadanya ialah kecenderungan industri ini untuk mengutamakan populariti berbanding kualiti. Banyak karya dihasilkan sekadar memenuhi permintaan pasaran tanpa menitikberatkan nilai seni dan mesej yang bermakna. Hal ini menyebabkan kandungan yang dipaparkan menjadi kosong dan kurang memberi impak kepada masyarakat.

Selain itu, budaya sensasi turut menjadi kebiasaan. Kehidupan peribadi artis sering dijadikan bahan hiburan sehingga melanggar batas privasi. Media dan peminat seolah-olah lebih tertarik kepada kontroversi berbanding bakat sebenar seseorang penggiat seni. Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada artis, malah mencerminkan sikap masyarakat yang semakin obses terhadap gosip.

Tambahan pula, terdapat juga isu representasi yang tidak seimbang. Peluang dalam industri hiburan kadangkala tidak diberikan secara adil, sebaliknya dipengaruhi oleh paras rupa, pengaruh dan hubungan tertentu. Hal ini menjejaskan bakat-bakat baharu yang sebenarnya lebih berpotensi.

Kesimpulannya, dunia hiburan perlu diperbaiki agar lebih beretika dan berkualiti. Kritikan yang membina amat penting supaya industri ini bukan sahaja menghibur tetapi juga mendidik dan memberi inspirasi kepada masyarakat.


Dunia Hiburan


Monday, May 11, 2026

Seni dan Budaya

 Tarian Sumazau

Sabah terkenal dengan kekayaan seni dan budayanya yang unik, dan salah satu warisan yang paling menonjol ialah tarian Sumazau. Tarian ini merupakan tarian tradisional suku kaum Kadazan yang sering dipersembahkan semasa perayaan Kaamatan sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil tuaian. Keindahan tarian Sumazau terletak pada gerakan yang lembut dan berirama, menyerupai pergerakan burung helang yang sedang terbang.

Penari lelaki dan wanita akan menari secara berpasangan dengan iringan muzik tradisional seperti gong dan kulintangan. Gerakan tangan yang perlahan dan harmoni melambangkan keseimbangan antara manusia dengan alam semula jadi. Selain itu, pakaian tradisional yang dikenakan oleh penari seperti busana hitam yang dihiasi aksesori emas, menambahkan lagi keunikan persembahan ini.

Tarian Sumazau bukan sekadar hiburan, tetapi juga mencerminkan identiti dan warisan budaya masyarakat Sabah. Ia menjadi simbol perpaduan dan kebanggaan bagi suku kaum Kadazan serta masyarakat negeri tersebut secara keseluruhan. Usaha untuk memelihara tarian ini amat penting agar generasi muda terus mengenali dan menghargai budaya warisan nenek moyang mereka.

Kesimpulannya, tarian Sumazau merupakan khazanah budaya yang harus dipelihara. Keindahannya bukan sahaja menghiburkan, malah membawa makna yang mendalam tentang hubungan manusia dengan alam dan tradisi.


Tarian Sumazau


Sunday, May 10, 2026

Pengalaman Kembara

 Pendakian ke Bukit Kopungit

Pendakian ke Bukit Kopungit merupakan satu pengalaman kembara yang sangat menarik dan mencabar bagi saya. Bukit ini terletak di kawasan Kota Kinabalu dan terkenal dalam kalangan pendaki tempatan sebagai lokasi hiking santai yang sesuai untuk pemula mahupun yang sudah berpengalaman.

Perjalanan mendaki bermula pada awal pagi ketika udara masih segar dan suasana masih tenang. Pada mulanya, laluan pendakian tidak terlalu sukar, namun semakin lama trek menjadi lebih curam dan mencabar. Walaupun penat, semangat untuk sampai ke puncak membuatkan saya terus melangkah satu demi satu.

Sepanjang pendakian, saya dapat melihat keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara. Pokok-pokok hijau yang tinggi, bunyi serangga hutan, serta angin sepoi-sepoi bahasa menjadikan perjalanan ini sangat menenangkan walaupun memerlukan tenaga yang banyak. Sesekali, saya berhenti seketika untuk mengambil nafas dan menikmati pemandangan sekeliling.

Apabila hampir tiba di puncak, rasa letih mula digantikan dengan rasa teruja. Akhirnya, setelah beberapa ketika mendaki, saya berjaya sampai ke puncak Bukit Kopungit. Dari atas, saya dapat melihat pemandangan indah bandar Kota Kinabalu yang terbentang luas bersama laut dan langit yang biru. Pemandangan ini benar-benar berbaloi dengan segala penat lelah yang dilalui.

Selain menikmati pemandangan di atas bukit, pengalaman ini juga mengajar saya tentang erti kesabaran, ketahanan diri dan semangat tidak mudah berputus asa. Mendaki bukit bukan sahaja satu aktiviti fizikal, tetapi juga satu perjalanan untuk menguji mental dan kekuatan diri.

Kesimpulannya, pengalaman di Bukit Kopungit memberikan ketenangan yang sangat bermakna. Ia bukan sahaja tentang sampai ke puncak, tetapi tentang perjalanan, usaha dan kepuasan yang dirasai sepanjang pendakian.


Tapak Permulaan Bukit Kopungit


Saturday, May 9, 2026

Agama

 Berpuasa di Bulan Ramadhan

Islam mewajibkan umatnya berpuasa pada bulan Ramadhan sebagai salah satu daripada Rukun Islam. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari, tetapi juga menuntut umat Islam menjaga tingkah laku, percakapan dan hati daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala ibadah kita,

Tujuan utama ibadah puasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Melalui amalan ini, seseorang Muslim dilatih untuk cuba mengawal nafsu, bersabar dalam menghadapi cabaran serta belajar merasai kesusahan golongan yang kurang bernasib baik. Dengan cara ini, puasa dapat membentuk sifat prihatin dan belas kasihan dalam diri seseorang.

Sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan ibadah seperti solat sunat terawih, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah. Semua amalan ini menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang penuh keberkatan, keinsafan dan pengampunan.

Selain itu, puasa juga mendidik disiplin dalam kehidupan seharian. Umat Islam perlu bangun awal untuk bersahur, mengurus masa dengan baik, serta menahan diri sehingga waktu berbuka. Pengalaman ini membantu membentuk gaya hidup yang lebih teratur dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, ibadah puasa dalam Islam pada bulan Ramadhan bukan sahaja mendidik keimanan dalam diri kita sebagai manusia, tetapi juga membina akhlak mulia, disiplin diri dan meningkatkan hubungan manusia dengan Allah SWT serta sesama insan.



Bulan Ramadhan


Friday, May 8, 2026

Makanan Tradisional

 Hinava

Hinava merupakan salah satu makanan tradisional yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun di negeri Sabah. Hidangan ini bukan sekadar makanan, tetapi juga sebahagian daripada identiti budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.

Hinava diperbuat daripada ikan segar yang biasanya tidak dimasak dengan api, sebaliknya ia hanya menggunakan jus limau. Proses ini memberikan rasa masam yang segar dan unik. Selain ikan, bahan lain yang digunakan termasuk bawang merah, halia, cili dan perahan limau yang menjadikan hidangan ini sangat aromatik dan menyelerakan.

Apa yang menjadikan Hinava istimewa ialah cara penyediaannya yang ringkas tetapi penuh rasa. Walaupun tidak melalui proses memasak seperti makanan lain iaitu menggoreng atau merebus, kombinasi bahan-bahan segar menjadikan hidangan ini sangat enak dan sihat. Ia sering dihidangkan semasa majlis keramaian, perayaan atau makan bersama keluarga.

Selain rasanya yang unik, Hinava juga melambangkan cara hidup masyarakat Sabah yang dekat dengan alam dan sumber semula jadi. Penggunaan bahan segar menunjukkan betapa pentingnya kesegaran dan kualiti dalam masakan tradisional masyarakat Sabah.

Secara keseluruhannya, Hinava bukan sekadar makanan, tetapi simbol warisan budaya masyarakat Kadazan Dusun di Sabah. Ia perlu terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi muda supaya keunikan makanan tradisional ini tidak hilang ditelan zaman.


Hinava


Thursday, May 7, 2026

Pengalaman di Kolej

 Pengalaman di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Pengalaman tinggal di kolej merupakan satu fasa baru dalam kehidupan saya apabila mula melanjutkan pelajaran. Saya ditempatkan di Kolej Canselor, Blok Delima aras kosong. Pada awalnya, segala-galanya terasa asing kerana ini merupakan kali pertama saya tinggal di asrama dan berjauhan daripada keluarga.

Pada awalnya, saya tinggal seorang diri di dalam bilik tanpa rakan sebilik. Perasaan sunyi dan kekok memang tidak dapat dielakkan kerana suasana yang baru dan persekitaran yang belum saya biasakan. Namun, dalam masa yang sama, ia juga memberi saya ruang untuk belajar berdikari dan mengurus diri sendiri.

Bilik yang saya diami agak sederhana tapi tetap selesa. Ia dilengkapi dua katil, dua almari besar, dua meja belajar serta satu ampaian baju yang bersaiz sederhana. Walaupun kemudahan yang tidak terlalu mewah, ia sudah mencukupi untuk keperluan harian sebagai seorang pelajar.

Beberapa bulan kemudian, saya akhirnya mendapat rakan sebilik. Pada mulanya kami masih belum begitu rapat, tetapi lama-kelamaan kami mula berkenalan dan saling menyesuaikan diri. Daripada situ, suasana bilik menjadi lebih ceria dan tidak lagi sunyi seperti sebelum ini.

Seiring dengan masa, saya juga semakin biasa dengan kehidupan di kolej. Saya mula mengenali rakan-rakan lain dari negeri yang berbeza, memahami rutin harian serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kolej. Segala pengalaman ini mengajarkan saya erti kesabaran, toleransi dan berdikari dalam kehidupan.

Secara keseluruhannya, pengalaman tinggal di Kolej Canselor memberikan saya banyak kenangan dan pengajaran yang berharga. Ia bukan sahaja tentang tempat tinggal, tetapi juga tentang sebuah proses membesar dan belajar menyesuaikan diri dalam dunia yang baru.


Kolej Canselor


Wednesday, May 6, 2026

Pengalaman di Kampung

Kampung Kogopon, Papar

Kampung Kogopon yang terletak di daerah Papar merupakan sebuah kampung yang menyimpan ketenangan, keindahan alam dan nilai kehidupan sederhana tetapi bermakna. Kampung ini menjadi tempat tinggal yang selesa bagi penduduknya yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Suasana di Kampung Kogopon sangat berbeza daripada kehidupan di bandar. Setiap pagi disambut dengan udara yang segar, bunyi burung berkicauan serta pemandangan hijau yang menenangkan mata. Kehidupan yang tidak terlalu sibuk ini memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati setiap detik dengan lebih tenang dan bersyukur.

Penduduk kampung ini juga terkenal dengan sikap ramah dan mesra. Nilai kekeluargaan masih kukuh dan amalan gotong-royong sering diamalkan dalam pelbagai aktiviti seperti kenduri, kerja kebun dan membantu jiran yang memerlukan. Hubungan erat ini menjadikan kampung ini seperti sebuah keluarga besar yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Selain itu, kehidupan di Kampung Kogopon juga sangat dekat dengan alam semula jadi. Kawasan sekitarnya dipenuhi dengan kehijauan pokok, kebun serta suasana kampung yang damai. Aktiviti harian seperti berkebun dan menjaga haiwan ternakan masih menjadi sebahagian daripada rutin penduduk, sekali gus mengekalkan cara hidup tradisional.

Walaupun tidak pesat membangun seperti kawasan bandar, Kampung Kogopon mempunyai keunikan tersendiri yang tidak ternilai. Kesederhanaan hidup di sini mengajarkan saya erti kesyukuran, kesabaran dan menghargai apa yang ada. Kampung Kogopon bukan sekadar sebuah kampung penuh dengan ketenangan, nilai murni dan kenangan yang bermakna bagi penduduknya. 

Tuesday, May 5, 2026

Kritikan Tentang Dunia Hiburan

 Kritikan Terhadap Dunia Hiburan Moden

Dunia hiburan pada masa kini berkembang dengan sangat pantas seiring kemajuan teknologi dan media sosial. Namun, di sebalik kemeriahan itu, terdapat beberapa isu yang semakin membimbangkan dan wajar diberi perhatian secara kritis.

Salah satu punca utama ialah budaya sensasi yang semakin mendominasi industri hiburan. Banyak kandungan yang dihasilkan lebih mementingkan kontroversi berbanding kualiti. Selebriti pula sering dijadikan bahan berita hanya kerana isu peribadi, bukan bakat ataupun pencapaian mereka. Hal ini secara tidak langsung mengalihkan fokus masyarakat daripada karya seni yang sebenar kepada hiburan kosong.

Tidak lupa pengaruh media sosial juga menyebabkan ramai individu ingin menjadi terkenal secara cepat tanpa usaha yang mendalam. Fenomena "viral" sering mengangkat seseorang walaupun tanpa bakat yang jelas. Ini menimbulkan persoalan tentang nilai sebenar kejayaan dalam dunia hiburan.

Selain itu, tekanan terhadap selebriti juga semakin tinggi. Mereka sering menerima kritikan terbuka melalui media sosial tidak kira dari aplikasi TikTok, Instagram atau Facebook, yang boleh memberi kesan kepada kesihatan atau masalah mental. Masyarakat kadangkala terlalu mudah menghakimi tanpa memahami situasi sebenar.

Kesimpulannya, dunia hiburan perlu kembali kepada asasnya iaitu menghasilkan karya yang berkualiti dan bermakna. Masyarakat juga harus lebih bijak dalam menilai kandungan yang mereka konsumsi supaya industri hiburan dapat berkembang secara sihat dan beretika.

Aplikasi Sosial Media

Monday, May 4, 2026

Pakaian Tradisional

 Baju Tradisional Lelaki Kadazan Dusun: Warisan Budaya Sabah

Pakaian tradisional lelaki Kadazan Dusun merupakan salah satu warisan budaya yang masih kekal sehingga hari ini di negeri Sabah. Pakaian ini bukan sekadar pakaian biasa, tetapi melambangkan identiti, status dan jati diri masyarakat Kadazan Dusun yang kaya dengan adat serta tradisi.

Antara pakaian utama lelaki ialah Baju Gaung iaitu baju lengan panjang berwarna hitam yang dihiasi dengan sulaman berwarna emas atau merah. Corak pada baju ini menunjukkan keindahan seni kraf tangan masyarakat tempatan. Baju ini biasanya dipadankan dengan seluar hitam yang ringkas tetapi kemas.

Selain itu, lelaki Kadazan Dusun juga memakai Siga iaitu kain panjang yang dililit di kepala. Siga bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi juga melambangkan kebijaksanaan dan status pemakai. Setiap lilitan siga mempunyai makna tersendiri dalam budaya mereka. Aksesori seperti himpogot, iaitu tali pinggang yang diperbuat daripada syiling perak turut dipakai untuk menambah nilai estetika serta simbol kekayaan tradisional. Kadangkala, ia juga dipakai bersama hiasan lain semasa perayaan seperti Pesta Kaamatan.

Secara keseluruhannya, pakaian tradisional ini mencerminkan keunikan masyarakat Kadazan Dusun yang tinggal di Sabah. Ia perlu dipelihara supaya generasi akan datang dapat terus menghargai warisan budaya yang berharga ini.

Baju Gaung

Siga

Himpogot






Sunday, May 3, 2026

Pengalaman Membaca Buku Sastera

 “Imam” karya Abdullah Hussain

Saya masih ingat ketika saya meminjam sebuah buku yang bertajuk Imam dari rakan sekelas saya. Pada awalnya, saya kira ia bakal menjadi bosan. Namun buku sastera ini banyak manfaatnya sehingga saya menjadi ketagih dan mengambil tanpa pengetahuan rakan saya.

Novel sastera bertajuk Imam merupakan satu pengalaman yang sangat memberi kesan kepada saya. Novel ini karya Abdullah Hussain, seorang sasterawan terkenal Malaysia yang banyak menyumbang dalam bidang penulisan novel, cerpen dan karya sastera moden. Novel ini membawa saya menyelami perjalanan seorang tokoh agama yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan, masyarakat dan kepercayaan diri sendiri. Sejak awal pembacaan, saya dapat merasakan bahawa karya ini bukan sekadar cerita biasa, tetapi sarat dengan mesej moral dan keagamaan yang mendalam.

Kisah ini banyak memfokuskan kepada konflik dalaman watak utama dalam mempertahankan prinsip dan tanggungjawab sebagai seorang imam. Saya dapat melihat bagaimana beliau berusaha untuk menegakan kebenaran walaupun sering berdepan dengan tentangan dan salah faham daripada masyarakat sekeliling. Situasi ini membuatkan saya berfikir tentang nilai kesabaran, keikhlasan dan keteguhan iman dalam kehidupan seharian.

Tidak lupa juga gaya penulisan novel Imam ini sangat menarik kerana menggunakan bahasa yang mudah difahami tetapi tetap puitis dan bermakna. Setiap bab membawa emosi yang berbeza, daripada ketegangan berubah kepada kesedihan, sehinggalah kepada rasa harapan. Saya menjadi tidak bosan ketika membaca dan sentiasa ingin mengetahui perkembangan cerita seterusnya.

Setelah habis membaca novel ini, saya berpendapat bahawa novel ini sangat sesuai dijadikan bahan bacaan kerana ia bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan pengajaran yang berguna. Ia mengajar pembaca untuk lebih menghargai nilai keimanan, tanggungjawab dan pengorbanan dalam kehidupan.

Novel ini bukan sahaja sebuah karya sastera, tetapi juga satu cerminan kehidupan yang penuh makna dan pengajaran untuk semua orang.



Novel "Imam" karya Abdullah Hussain


Saturday, May 2, 2026

Isu Semasa dan Sejagat

 Isu Harga Minyak dan Tenaga di Malaysia

Isu harga minyak dan tenaga merupakan salah satu isu semasa yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat di Malaysia. Petrol dan diesel merupakan sumber tenaga utama yang digunakan dalam kehidupan harian, terutamanya dalam sektor pengangkutan dan perniagaan. Oleh itu, sebarang perubahan harga bahan api ini akan memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Harga minyak di Malaysia sering berubah mengikut pasaran minyak dunia. Apabila harga minyak global meningkat, harga petrol dan diesel juga cenderung untuk naik. Keadaan ini menyebabkan kos pengangkutan awam memerlukan lebih banyak perbelanjaan untuk operasi harian.

Saya dapat lihat, kesan daripada kenaikan harga minyak ini juga turut dirasai dalam harga barangan lain. Peniaga terpaksa menanggung kos penghantaran yang lebih tinggi, lalu ada yang menaikkan harga jualan bagi menampung perbelanjaan. Hal ini akhirnya memberi tekanan kepada pengguna, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah yang perlu berbelanja lebih untuk keperluan harian.

Selain itu, isu tenaga bukan sahaja tertumpu kepada bahan api tetapi juga kepada penggunaan elektrik. Peningkatan kos tenaga boleh memberi kesan kepada industri dan sektor perniagaan yang bergantung kepada penggunaan elektrik yang tinggi. Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara Malaysia.

Isu ini merupakan cabaran penting yang perlu ditangani dengan bijak. Bukan sahaja di tangan pihak kerajaan, masyarakat juga perlu bersama-sama mencari langkah penjimatan tenaga dan penggunaan sumber secara berhemah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap kehidupan seharian.




Friday, May 1, 2026

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Kelas BBK3410 merupakan sebuah kursus Penglahiran Bakat Kreatif yang memberi pengalaman baharu kepada saya sebagai seorang pelajar. Secara jujur, sebelum memasuki kelas ini, saya tidak pernah mendengar tentang kursus tersebut. Pada awalnya, saya beranggapan bahawa kelas ini akan lebih tertumpu kepada aktiviti seperti menari, menyanyi atau melibatkan bakat seni persembahan yang lain. Namun, tanggapan saya ternyata kurang tepat.

Setelah menghadiri sesi pertama, saya mula memahami bahawa kursus BBK3410 ini sebenarnya memberi penekanan kepada penglahiran idea kreatif dalam penulisan seperti cerpen, sajak dan pantun. Ia lebih kepada bagaimana seseorang pelajar dapat mengekspresikan pemikiran dan emosi melalui karya penulisan kreatif. Perkara ini membuka perspektif baharu kepada saya tentang makna sebenar kreativiti dalam bidang bahasa dan sastera.

Pada awalnya, kelas ini dijalankan secara dalam talian dan turut bergabung dengan kelas Linguistik Melayu. Pada sesi perkenalan, kami diperkenalkan kepada pensyarah kami iaitu Prof. Madya Dr. Kamariah binti Kamarudin. Beliau merupakan seorang pensyarah yang peramah, namun tetap tegas dalam proses pengajaran. Walaupun kelas dijalankan secara maya, cara penyampaian beliau tidak jauh berbeza seperti pembelajaran secara bersemuka kerana beliau tetap interaktif dan jelas dalam memberi penerangan.

Secara keseluruhannya, pengalaman awal saya dalam BBK3410 sangat membuka mata dan memberi motivasi untuk saya lebih berani menulis serta mengasah bakat kreatif dalam bidang penulisan.



Tokoh Motivasi

 Tun Dr. Mahathir Mohamad Malaysia mempunyai ramai tokoh inspirasi, dan salah seorang yang paling berpengaruh ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad...