Berpuasa di Bulan Ramadhan
Islam mewajibkan umatnya berpuasa pada bulan Ramadhan sebagai salah satu daripada Rukun Islam. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari, tetapi juga menuntut umat Islam menjaga tingkah laku, percakapan dan hati daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala ibadah kita,
Tujuan utama ibadah puasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Melalui amalan ini, seseorang Muslim dilatih untuk cuba mengawal nafsu, bersabar dalam menghadapi cabaran serta belajar merasai kesusahan golongan yang kurang bernasib baik. Dengan cara ini, puasa dapat membentuk sifat prihatin dan belas kasihan dalam diri seseorang.
Sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan ibadah seperti solat sunat terawih, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah. Semua amalan ini menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang penuh keberkatan, keinsafan dan pengampunan.
Selain itu, puasa juga mendidik disiplin dalam kehidupan seharian. Umat Islam perlu bangun awal untuk bersahur, mengurus masa dengan baik, serta menahan diri sehingga waktu berbuka. Pengalaman ini membantu membentuk gaya hidup yang lebih teratur dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, ibadah puasa dalam Islam pada bulan Ramadhan bukan sahaja mendidik keimanan dalam diri kita sebagai manusia, tetapi juga membina akhlak mulia, disiplin diri dan meningkatkan hubungan manusia dengan Allah SWT serta sesama insan.
No comments:
Post a Comment