Thursday, May 7, 2026

Pengalaman di Kolej

 Pengalaman di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Pengalaman tinggal di kolej merupakan satu fasa baru dalam kehidupan saya apabila mula melanjutkan pelajaran. Saya ditempatkan di Kolej Canselor, Blok Delima aras kosong. Pada awalnya, segala-galanya terasa asing kerana ini merupakan kali pertama saya tinggal di asrama dan berjauhan daripada keluarga.

Pada awalnya, saya tinggal seorang diri di dalam bilik tanpa rakan sebilik. Perasaan sunyi dan kekok memang tidak dapat dielakkan kerana suasana yang baru dan persekitaran yang belum saya biasakan. Namun, dalam masa yang sama, ia juga memberi saya ruang untuk belajar berdikari dan mengurus diri sendiri.

Bilik yang saya diami agak sederhana tapi tetap selesa. Ia dilengkapi dua katil, dua almari besar, dua meja belajar serta satu ampaian baju yang bersaiz sederhana. Walaupun kemudahan yang tidak terlalu mewah, ia sudah mencukupi untuk keperluan harian sebagai seorang pelajar.

Beberapa bulan kemudian, saya akhirnya mendapat rakan sebilik. Pada mulanya kami masih belum begitu rapat, tetapi lama-kelamaan kami mula berkenalan dan saling menyesuaikan diri. Daripada situ, suasana bilik menjadi lebih ceria dan tidak lagi sunyi seperti sebelum ini.

Seiring dengan masa, saya juga semakin biasa dengan kehidupan di kolej. Saya mula mengenali rakan-rakan lain dari negeri yang berbeza, memahami rutin harian serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kolej. Segala pengalaman ini mengajarkan saya erti kesabaran, toleransi dan berdikari dalam kehidupan.

Secara keseluruhannya, pengalaman tinggal di Kolej Canselor memberikan saya banyak kenangan dan pengajaran yang berharga. Ia bukan sahaja tentang tempat tinggal, tetapi juga tentang sebuah proses membesar dan belajar menyesuaikan diri dalam dunia yang baru.


Kolej Canselor


No comments:

Post a Comment

Tokoh Motivasi

 Tun Dr. Mahathir Mohamad Malaysia mempunyai ramai tokoh inspirasi, dan salah seorang yang paling berpengaruh ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad...